Jumaat, 22 Disember 2006

Monolog Kehidupan Realiti

Semalam yang berlalu
Bukan suatu waktu yang indah
Menghitung kembali titisan khayalan
Yang menghimpun rahsia sejarah silam
Tersimpan seribu igauan, luka dan kepedihan

Hari ini pasti tiba lagi
Ku bangun dari fantasi
Dalam realiti daku menatap
Episod kehidupan dalam percikan warna
Memahatkan lukisan perjalanan cereka
Memaparkan wajah jati diri

Mentari semalam yang kelam
Masih sudi memancarkan cahaya kehangatan
Menerangi kehidupan
Menyuntik semangat yang panjang
Ku selami ungkapan ku renangi lautan fikiran
Segenggam harapan mula berputik
Memartabatkan keyakinan mengangkat kekuatan jiwa

Meniti batas usia melewati kedewasaan
Ku tebarkan bibit realiti
Bersama cita-cita yang menyala
Ku realisasikan keazaman
Bukan hanya singgahan khayalan lagi
Ku anyam simpulan kejayaan
Untuk menyunting bunga-bunga kebahagian
Dengan secangkir ketabahan
Demi merintis perjalanan kehidupan

Akhirnya pastikan kutemui
Dia di dalam aku
Kulihat aku di dalam dia
Kerana yang nyata
Dia adalah aku
Dan aku tetap aku...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...